Friday, September 5, 2008

Salam untuk semua!!!

Ganjaran Puasa Ramadhan
Hadith :
Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:"Semua amalan anak Adam digandakan kebaikannya sepuluh kali ganda serupa dengannya hingga tujuh ratus kali ganda, Allah Azza Wajalla berkata:" Melainkan puasa, kerana ia untuk-Ku dan Aku sendiri yang membalasnya, mereka meninggalkan syahwat dan makanannya kerana-Ku." Bagi orang yang berpuasa akan mendapat dua kegembiraan; kegembiraan semasa berbuka dan kegembiraan semasa menemui Tuhannya, dan bau busuk (dari mulut orang yang berpuasa) kerana berpuasa lebih wangi di sisi Allah daripada bau Musk."
Riwayat Bukhari & Muslim
Huraian
Pengajaran Hadis:
i) Puasa merupakan perkara 'dharuriah' dalam agama di mana sesiapa yang mengingkari wajibnya puasa maka ia menjadi kufur, manakala sesiapa yang meninggalkan puasa tanpa uzur syarie, hendaklah ia dihukum.
ii) Puasa memaksa kita meninggalkan nafsu syahwat walaupun pada perkara yang telah dihalalkan untuk melakukannya (sebelum Ramadhan). Dengan itu puasa sebenarnya dikatakan sebagai pendidik untuk kita menjadi lebih tegas, berdisiplin dan sabar dalam berhadapan dengan sebarang godaan sepanjang Ramadhan berlangsung.
iii) Bulan Ramadhan dikenali juga sebagai bulan prestasi, di mana Allah memberikan kesempatan kepada orang-orang yang beriman untuk memperbaiki darjatnya di sisi Allah S.W.T bahkan di bulan ini semua aktiviti yang harus di sisi syarak dikira sebagai suatu ibadah kepada Allah S.W.T.
iv) Puasa yang dilakukan dengan ikhlas kerana Allah semata-mata akan bernilai sepuluh kebajikan (atau lebih). Oleh itu orang yang puasa di bulan Ramadhan dan diiringi dengan puasa enam hari di bulan Syawal dinilai sama dengan puasa sepanjang tahun. Hal demikian disebutkan dalam hadis Rasulullah s.a.w.
v) Ramadhan adalah bulan ibadah untuk mendekatkan diri kepada Allah seperti yang dilakukan oleh para salafus-soleh. Dengan itu kita hendaklah benar-benar berusaha agar tidak ada waktu berlalu tanpa amal soleh sepanjang Ramadhan ini kerana bulan Ramadhan adalah bulan permohonan, munajat, hidayah dan meraih petunjuk kebenaran daripada Allah S.W.T.
Hakikat Puasa
Hadith :
Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:"Puasa itu perisai dan benteng yang membentengi dari sentuhan api neraka."
Riwayat Ahmad dan Baihaqi
Huraian
Pengajaran Hadis:
i) Seorang Muslim yang sejati ialah orang yang menunggu-nunggu kedatangan bulan Ramadhan dengan penuh persediaan, rindu untuk mengerjakan ibadah puasa dan bercita-cita untuk memenuhi setiap detik Ramadhan dengan pengisian yang bukan sahaja perkara wajib malah berbagai-bagai perkara sunat yang lain.
ii) Oleh itu puasa sepatutnya menjadi pemadam dosa apabila segala ibadat yang dilakukan diterima oleh Allah S.W.T di mana orang-orang yang seperti inilah yang diharamkan jasadnya daripada api neraka.
iii) Di antara ibadat-ibadat yang harus dilakukan bagi meraih keampunan Allah S.W.T itu ialah melakukan solat tarawikh, solat tahjud, solat taubat, membaca al-Quran, beriktikaf di dalam masjid, memperbanyakkan zikir, doa dan beristighfar, membanyakkan sedekah, menjamu orang berbuka puasa dan mengerjakan umrah (bagi yang mampu). Namun amalan-amalan ini hendaklah dikerjakan dengan hati yang ikhlas kerana Allah bukan untuk menunjuk-nunjuk kerana di situlah letaknya keberkatan sesuatu amalan yang dilakukan.
iv) Puasa sebenarnya menggariskan undang-undangnya yang tersendiri dan jika dipraktikkan dengan penuh ketaatan terbukti ia akan mampu mendidik dan mengasuh jiwa yang rakus menjadi lembut seperti malaikat yang sentiasa melakukan ibadah dalam mencari keredaan Allah S.W.T.

Adab Berbuka Puasa - Menurut Sunah Rasulullah S.A.W.-Mufti Perlis

ADAB-adab berhubung ibadat mestilah merujuk kepada ajaran yang ditunjuk oleh Allah s.w.t.. dan Rasulullah s.a.w., iaitu al-Quran dan sunah. Ada sebahagian pihak yang cenderung mencipta adab-adab ibadah tanpa merujuk kepada dua sumber agung itu, misalnya dakwaan yang menyatakan makruh mandi terlalu kerap, atau mandi pada hampir waktu berbuka kerana ia boleh mengurangkan keletihan dan sekali gus menghilangkan kelebihan puasa.

Sedangkan di dalam hadis sahih yang diriwayatkan oleh Imam Malik di dalam al-Mawata', Ahmad dan Abu Daud di dalam sunannya, Abu Bakar bin Abd al-Rahman meriwayatkan:


"Telah berkata sahabat yang menceritakan kepadaku: "Aku melihat Rasulullah s.a.w. di al-`Arj (nama tempat) mencurahkan air ke atas kepala Baginda ketika Baginda berpuasa disebabkan dahaga atau panas."

Dengan itu Ibn Qudamah al-Maqdisi (meninggal 620H) menyatakan:

"Tidak mengapa seseorang mencurahkan air ke atas kepalanya (ketika puasa) disebabkan panas atau dahaga kerana diriwayatkan oleh sebahagian sahabat bahawa mereka melihat Rasulullah s.a.w. di al-`Arj (nama tempat) mencurahkan air ke atas kepala Baginda ketika Baginda berpuasa disebabkan dahaga atau panas."

(Ibn Qudamah al-Maqdisi, al-Mughni, 2/18, cetakan Dar al-Fikr, Beirut).

Yang penting di dalam bulan Ramadan ini adalah adab-adab yang kita kaitkan dengan ibadah puasa mestilah mempunyai asas yang boleh dipegang, iaitu al-Quran atau sunah. Antara adab-adab berbuka puasa yang dinyatakan di dalam hadis:

  1. Menyegerakan berbuka apabila masuknya waktu atau disebut ta'jil al-Iftar. Ini berdasarkan hadis-hadis yang menyebut perkara ini, antaranya: Daripada Sahl bin Sa`ad bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:

    "Manusia sentiasa dalam kebaikan selagi mereka menyegerakan berbuka puasa."

    (Riwayat Bukhari dan Muslim).

    Hadis ini menerangkan punca kebaikan di dalam agama ialah mengikut sunah Nabi s.a.w., iaitu Baginda menyegerakan berbuka puasa. Ini menolak dakwaan ajaran-ajaran karut yang kononnya melewatkan berbuka menambah pahala. Kata at-Tibi (meninggal 743H):

    "Barangkali sebab Allah menyukai mereka yang bersegera membuka puasa, ialah kerana apabila seseorang berbuka puasa sebelum solat, membolehkannya menunaikan solat dengan dihadirkan hati. Juga ia menyanggahi ahli bidaah yang berpendapat wajib melewatkannya. "

    (at-Tibi, Syarh Miskhat al-Masabih, 4/183, cetakan Dar al-Kutub al-`Ilmiyyah, Berut).

  2. Berbuka puasa dengan rutab, atau tamar atau air. Rutab ialah buah kurma yang telah masak sebelum menjadi tamar kering, ia lembut dan manis. Adapun tamar ialah buah kurma yang sudah kering. (lihat: al-Mu'jam al-Wasit 1/88). Sekarang di negara kita rutab sudah mula dikenali. Ia kurma yang masak dan masih lagi belum kering dan mengecut. Apabila ia mengecut dipanggil tamar. Di dalam hadis daripada Anas katanya:

    "Bahawa Rasulullah s.a.w. berbuka puasa dengan beberapa biji rutab sebelum bersolat. Sekiranya tiada rutab, maka dengan beberapa biji tamar, dan sekiranya tiada tamar, maka Baginda minum beberapa teguk air."

    (Riwayat Imam Ahamd dan Tirmizi, katanya hadis ini hasan) Al-Diya al-Maqdisi (meninggal 643H) telah mensahihkan hadis ini. (lihat: al-Ahadith al-Mukhtarah, 4/411 cetakan: Maktabah al-Nahdah al-Hadithah, Mekah).

    Inilah tertib yang dilakukan oleh Baginda, pilihan pertama ialah rutab, jika tiada tamar dan jika tiada air. Kata al-Mubarakfuri (meninggal 1353H):

    "Hadis ini menjadi dalil disunatkan berbuka puasa dengan rutab, sekiranya tiada, maka dengan tamar, dan sekiranya tiada, maka dengan air. Adapun pendapat yang menyatakan di Mekah disunatkan didahulukan air zam-zam sebelum tamar, atau mencampurkan tamar dengan air zam-zam adalah ditolak. Ini kerana ia menyanggahi sunah. Adapun Nabi telah berpuasa (di Mekah) banyak hari pada tahun pembukaan kota Mekah, namun tidak pernah diriwayatkan baginda menyalahi adat kebiasaannya mendahulukan tamar sebelum air."

    (al-Mubarakfuri, Tuhfah al-Ahwazi, 3/311, cetakan Dar al-Kutub al-`Ilmiyyah, Beirut). Di samping itu, dakwaan jika tiada tamar, maka dengan buah-buahan yang lain juga tiada sebarang dalil daripada sunah Nabi s.a.w.

  3. Menyegerakan solat Maghrib selepas berbuka dengan tamar atau air, sekiranya makanan belum dihidangkan. Hadis yang kita nyatakan di atas menunjukkan Baginda Nabi s.a.w. berbuka dengan rutab atau tamar atau air sebelum bersolat Maghrib. Maka kita disunatkan juga mengikuti langkah tersebut, iaitu selepas berbuka dengan perkara-perkara tadi, lantas terus menunaikan solat. Ini sekiranya makanan belum dihidangkan. Adapun sekiranya makanan telah dihidangkan di depan mata, maka dimakruhkan meninggalkan makanan untuk menunaikan solat. Ini berdasarkan apa yang dinyatakan dalam hadis-hadis baginda Nabi s.a.w. antaranya: Daripada Anas bin Malik r.a.: Bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:

    "Apabila telah dihidangkan makan malam, maka mulakanlah ia sebelum kamu menunaikan solat Maghrib, dan jangan kamu tergopoh-gapah ketika makan malam kamu."

    (Riwayat Bukhari dan Muslim).

    Dalam hadis yang lain daripada Abdullah bin Umar, Baginda s.a.w. bersabda:

    "Apabila dihidangkan makan malam seseorang kamu, sedangkan solat (jamaah) telah didirikan, maka mulailah dengan makan malam. Janganlah dia tergopoh-gapah sehinggalah dia selesa."

    (Riwayat Bukhari dan Muslim).

    Riwayat di atas juga menambah:

    Bahawa Ibn Umar r.a. apabila dihidangkan untuknya makanan, manakala solat pula sedang didirikan, maka beliau tidak mendatangi solat melainkan hingga beliau selesai makan, sedangkan beliau mendengar bacaan imam. Ini kerana meninggalkan makanan dalam keadaan keinginan yang kuat untuk menjamahnya atau dalam perasaan lapar, boleh menghilangkan khusyuk di dalam solat, disebabkan ingatan terhadap makanan tersebut. Dengan itu para ulama menyatakan dimakruhkan solat setelah makanan terhidang di hadapan mata. Kata an-Nawawi (meninggal 676H): Di dalam hadis-hadis tersebut dimakruhkan solat apabila terhidangnya makanan yang hendak dimakan kerana ia boleh mengganggu hati dan menghilangkan kesempurnaan khusyuk.

    (An-Nawawi, Syarh Sahih Muslim, 4/208, cetakan: Dar al-Khair, Beirut).

    Sebenarnya bukan pada makan malam atau solat Maghrib sahaja kita disunatkan mendahulukan makanan yang dihidang sebelum solat, bahkan sunah ini meliputi semua solat dan waktu makan kerana dibimbangi menghilangkan khusyuk. Ini sekiranya makanan telah terhidang di depan mata. Al-Munawi (meninggal 1031H) pula menyebut:

    "Hadis tersebut menyatakan hendaklah didahulukan makan malam sebelum solat Maghrib. Namun ia juga dipraktikkan juga pada solat-solat yang lain. Ini kerana punca arahan ini ialah bimbang hilangnya khusyuk."

    (al-Munawi, Faidh al-Qadir, 1/295, cetakan: al-Maktabah al-Tijariyyah al-Kubra, Mesir).

    Malangnya ada di kalangan yang kurang faham, lalu mereka menyatakan bahawa kalau azan sudah berkumandang, hidangan dan makanan hendaklah ditinggalkan demi mengutamakan solat jemaah. Inilah kedangkalan meneliti hadis-hadis Nabi s.a.w., lalu mengandaikan agama dengan emosi sendiri.

    Adapun sekiranya makanan belum terhidang atau perasaan keinginan terhadap makanan tiada, maka tidaklah dimakruhkan untuk terus solat. Ini bukanlah bererti kita disuruh mementingkan makanan melebihi solat, sebaliknya tujuan arahan Nabi s.a.w. ini ialah untuk memastikan kesempurnaan solat. Al-Imam Ibn Hajar al-`Asqalani (meninggal 852H) memetik ungkapan Ibn Jauzi (meninggal 597H):

    "Ada orang menyangka bahawa mendahulukan makanan sebelum solat adalah bab mendahulukan hak hamba ke atas hak Tuhan. Sebenarnya bukan demikian, tetapi ini adalah menjaga hak Allah agar makhluk masuk ke dalam ibadahnya dengan penuh tumpuan. Sesungguhnya makanan mereka (para sahabat) adalah sedikit dan tidak memutuskan mereka daripada mengikuti solat jemaah."

    (Ibn Hajar al-`Asqalani, Fath al-Bari, 2/385, cetakan: dar al-Fikr, Beirut).

  4. Makan dengan kadar yang tidak berlebihan ketika berbuka. Ini bertepatan dengan firman Allah s.w.t. maksudnya:

    Dan makan dan minumlah kamu, dan jangan berlebih-lebihan. Sesungguhnya Dia tidak suka orang yang berlebih-lebihan.

    (Surah al-`Araf:31) .

    Di dalam hadis Baginda s.a.w. menyebut:

    "Anak Adam itu tidak memenuhi suatu bekas yang lebih buruk daripada perutnya. Cukuplah bagi anak Adam itu beberapa suap yang dapat meluruskan tulang belakangnya (memberikan kekuatan kepadanya). Sekiranya tidak dapat, maka satu pertiga untuk makanan, satu pertiga untuk minuman dan satu pertiga untuk pernafasan."

    (Riwayat Tirmizi, katanya: hadis ini hasan sahih. Al-Hafiz Ibn Hajar al-`Asqalani dalam Fath al-Bari menyatakan hadis ini hasan).

    Hadis ini salah difahami oleh sesetengah pihak, lalu mereka menyangka Nabi s.a.w. menyuruh umatnya jika makan, hendaklah satu pertiga untuk makanan, satu pertiga untuk minuman dan satu pertiga untuk pernafasan. Sebenarnya jika kita teliti hadis ini bukan demikian, pembahagian tersebut ialah had maksimum. Kalau boleh kurang daripada itu. Sebab itu Baginda menyebut jika tidak dapat, maka tidak melebihi pembahagian tadi. Namun yang lebih utama digalakkan sekadar yang dapat memberi tenaga.

  5. Berdoa ketika berbuka. Ini berdasarkan hadis Nabi s.a.w.:

    "Sesungguhnya bagi orang berpuasa itu, doa yang tidak ditolak ketika dia berbuka."

    (Riwayat Ibn Majah, sanadnya pada nilaian hasan dan ke atas. Ishaq bin `Abd Allah al-Madani dithiqahkan oleh Abu Zur'ah dan disebut saduq oleh al-Zahabi dalam al-Kasyif ).

    Maka kita boleh berdoa dengan apa sahaja doa yang kita hajati. Doa orang berpuasa makbul disebabkan jiwa yang telah dibersihkan daripada kotoran dosa dan syahwat. Justeru itu al-Munawi menyebut:

    "Hadis di atas hanya untuk sesiapa yang telah menunaikan tanggungjawab puasa dengan menjaga lidah, hati dan anggota."

    (Faidh al-Qadir, 2/500).

    Di sana ada doa yang ditunjukkan oleh Nabi s.a.w. ketika berbuka dan disunatkan kita membacanya:

    "Adalah Rasulullah s.a.w. apabila berbuka, Baginda bersabda: Telah hilanglah dahaga, telah basahlah peluh (hilang kekeringan) dan telah tetaplah pahala, insya-Allah. "

    (Riwayat Abu Daud, sanadnya hasan)

    Namun setiap orang yang menunaikan puasa dengan sepenuhnya, hendaklah merebut peluang doa yang makbul ketika dia berbuka.

  6. Berdoa kepada sesiapa yang menjamu kita berbuka, kata Anas r.a.:

    "Baginda s.a.w. pernah datang kepada (rumah) Saad bin Ubadah. Dia menghidangkan roti dan minyak. Baginda pun makan dan bersabda: Telah berbuka puasa di sisi kamu mereka yang berpuasa, telah makan makanan kamu mereka yang baik dan telah berselawat ke atas kamu para malaikat."

    (Riwayat Abu Daud, Diya al-Maqdisi dalam Al-Ahadith al-Mukhtarah menyatakan ia sahih 5/158). Maka berdoalah kepada mereka yang menjamu kita berbuka puasa. Ini adab yang sangat baik.

Demikian senarai adab-adab yang terkandung di dalam sunah Nabi s.a.w. ketika berpuasa. Semoga pengamalan adab-adab ini menambahkan lagi pahala puasa kita.

**Artikel yang dicadangkan untuk bacaan bersempena dengan Ramadhan ini ialah "Puasa Tidak Boleh Berpisah Dari Dalil Sunah". Sila klik di sini untuk artikel tersebut.

Sunnah-Sunnah Di Dalam Berbuka Puasa

1. Bilakah Waktunya Berbuka Puasa?

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

“Kemudian sempurnakanlah puasa sehingga malam.” (al-Baqarah, 2: 187)

Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa Sallam menafsirkan dengan datangnya malam dan perginya siang serta sembunyinya bundaran matahari. Kami telah pun membawakan (penjelasan ini pada pembahasan yang telah lalu) agar menjadi tenang hati seorang muslim yang mengikuti sunnatul huda.

Kita sebagai hamba Allah yang beristiqomah dalam menuruti as-Sunnah, maka inilah perkataan-perkataan Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa Sallam ada bersama-sama dengan kita agar dapat mambacanya, memahaminya, menurutinya, telah jelas keadaannya yang dan telah turut kita ketahui akan perbuatan para sahabatnya adhiyallahu’anhum, yang mana mereka telah mendahui kita dalam mengikuti apa yang di bawa oleh Rasulullah Shallallahu’alaihi wa Sallam.

Diriwayatkan daripada ‘Abdur-Razzaq di dalam kitab al-Mushannaf- nya (7591) dengan sanad yang disahihkan oleh al-Hafidz Ibnu Hajar di dalam kitab Fathul Bari (4/199) dan oleh al-Haitsami di dalam Majma’ az-Zawaid (3/154) dari Amr bin Maimun al-Audi, dia menyatakan:

“Para sahabat Muhammad Shallallahu’alaihi wa Sallam adalah orang-orang yang paling bersegera dalam berbuka dan paling akhir (lewat) di dalam bersahur.”

2. Menyegerakan Berbuka

Selaku seorang yang beriman, adalah wajib ke atas kita untuk berbuka ketika matahari telah terbenam, janganlah dihiraukan oleh rona merah yang masih terlihat (tersisa) di ufuk. Maka, dengan inilah bererti telah mengikuti salah satu sunnah Rasulullah Shallallahu’alaihi wa Sallam dan menyelisihi Yahudi dan Nashrani di dalam berbuka puasa, kerana mereka mengakhirkan (melewatkan/ melambatkan) berbuka.

Perbuatn mereka dalam melambatkan berbuka itu adalah sehingga ketikanya waktu tertentu, yakni hingga terbitnya bintang. Maka dengan mengikuti jalan dan manhaj Rasulullah Shallallahu’alaihi wa Sallam bererti kita semua telah menampakkan syiar-syiar agama, memperkukuhkan petunjuk yang kita jalani, yang kita harapkan supaya semua dari kalangan kita berkumpul di atasnya. Hal-hal tersebut iaitu sunnah-sunnah di ketika berbuka dijelaskan oleh Rasulullah Shallallahu’alaihi wa Sallam sebagaimana yang berikut ini,

a. Menyegerakan berbuka

Dari Sahl bin Sa’ad Radhiyallahu’ anhu, Rasulullah Shallallahu’alaihi wa Sallam bersabda:

“Sentiasa manusia di dalam kebaikan selama mana mereka menyegerakan berbuka puasa.” (Hadis Riwayat al-Bukhari (4/173) dan Muslim (1093))

b. Menyegerakan berbuka merupakan sunnah Rasul Shallallahu ‘alaihi wa Sallam

Jika umat Islam menyegerakan berbuka bererti mereka tetap di atas sunnah Rasulullah Shallallahu’alaihi wa Sallam dan manhaj Salafus Soleh, dengan izin Allah mereka tidak akan tersesat selama ‘berpegang dengan sunnah Rasul mereka dan menolak semua bentuk perkara yang menyelisihi sunnah’.

Dari Sahl bin Sa’ad radhiyallahu’ anhu, Rasulullah Shallallahu’alaihi wa Sallam bersabda:

“Umatku akan sentiasa dalam sunnahku selama mana mereka tidak menunda-nunda di dalam berbuka puasa sehingga munculnya bintang.” (Hadis Riwayat Ibnu Hibban (891) dengan sanad yang sahih)

c. Menyegerakan berbuka bererti menyelisihi Yahudi dan Nashrani

Ketika manusia sentiasa berada di atas kebaikan disebabkan mengikuti manhaj Rasul mereka, serta memelihara sunnahnya, niscaya Islam (sentiasa) akan tetap bergemerlapan syiar-syiarnya serta tetap menang. Tidak akan terasa kesusahan di saat ada kelompok yang menyelisihinya. Ketika itu umat Islam akan menjadi singa pemberani di lautan kegelapan, tauladan yang baik untuk diikuti, kerana mereka tidak mejadi pak turut kepada orang di Timur dan Barat, dan condong bersama angin ke mana saja angin itu bertiup. Tetapi orang selain merekalah yang akan mengikuti mereka disebabkan Islam dipegang oleh mereka bersama sunnah yang agung.

Dari Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

“Agama ini akan sentiasa menang selama manusia menyegerakan berbuka puasa kerana orang-orang Yahudi dan Nashrani suka melewatkannya (dalam berbuka).” (Hadis Riwayat Abu Dawud (2/305), Ibnu Hibban (223). Sanadnya hasan)

Dapat kita fahami bahawa hadis-hadis di atas memiliki banyak faedah, manfaat, dan beberapa perkara yang penting, sebagaimana berikut:

1) Kemenangan agama ini dan berkibarnya panji-panjinya akan terus berlaku selagi mana kita sentiasa bertindak menyelisihi orang-orang sebelum kita dari kalangan Ahlul Kitab (Yahudi dan Nashara). Ini adalah sebagai penjelasan bagi umat Islam, bahawa mereka akan mendapatkan kebaikan yang banyak, jika masih tahu untuk membezakan diri dan tidak terikut-ikut terhadap pemikiran kelompok manusia sama ada yag di Barat ataupun yang di Timur. Kita perlulah bersikap tegas untuk menolak pemikiran-pemikiran asing (yang jauh dari Islam) atau mengikuti telunjuk barat yang diasaskan berdaarkan pemikiran yang menyimpang. Sekiranya umat ini berbuat demikian, maka mereka akan menjadi perhiasan di antara umat manusia, jadi pusat perhatian, serta menjadi tarikan kepada kebanyakan manusia lainnya. Dan perlu kita fahami bahawa perkara ini tidak akan terwujud melainkan dengan kembalinya kita kepada Islam yang sahih, berpegang dengan al-Qur-an dan as-Sunnah di dalam setiap permasalahan aqidah mahupun manhaj.

2) Berpegang dengan Islam sama ada secara global mahupun terperinci, berdasarkan firman Allah:

“Hai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam secara Kaffah (menyeluruh) .” (al-Baqarah, 2: 208)

Atas dasar inilah, maka ada yang membahagi-bahagiaka n Islam menjadi isi dan kulit sebagaimana yang dilakukan oleh sebahagian ahli bid’ah jahiliyah moden yang bertujuan mengotori fikrah (pemikiran) kaum muslimin dan memasukkan mereka ke dalam lingkaran keraguan yang tidak bertunjangkan dasar Islam yang haq. Perkara ini tidak ada asal dan dasarnya daripada agama Allah, bahkan akhirnya akan mengheret mereka kepada perbuatan orang-orang yang dimurkai Allah, (iaitu) mereka yang mengimani sebahagian kitab dan mendustakan sebahagian lainnya. Dan kita diperintahkan untuk menyelisihi mereka secara global mahupun terperinci, dan sungguh kita mengetahui bahawa hasil dari menyelisihi Yahudi dan Nashrani adalah menjadikan tetap (tegak)nya agama ini dengan haq.

3) Dakwah ke jalan Allah dan memberi peringatan kepada orang-orang yang beriman tidak akan terputus, perkara-perkaran baru yang menimpa umat Islam tidak menyebabkan kita membeza-bezakan syiar-syiar Allah, janganlah sehingga nanti kita mengatakan seperti perkataan kebanyakan dari mereka (ahli bid’ah) seperti contohnya (dengan berkata), “Ini semua perkara kecil, furu’, khilafiyah dan hawasyiyah, kita wajib meninggalkannya, kita tumpukan dahulu usaha-usaha kita untuk perkara-perkara yang lebih besar iaitu menyatukan umat Islam dengan membina sebuah negara.”

Sewajarnya kita menyedari, bahawa landasan dakwah ke jalan Allah haruslah di atas bashirah (petunjuk) dan bukannya mengikut nafsu. Kita juga telah mengerti berdasarkan hadis-hadis yang mulia bahawa tertegaknya agama ini adalah bergantung kepada disegerakannya berbuka puasa yang dilakukan ketika mana lingkaran matahari telah terbenam. Maka bersegeralah kita bertaqwa kepada Allah dan menjauhi sikap sebahagian manusia yang menyangka bahawa waktu berbuka puasa itu ketika terbenamnya matahari. Dan jauhilah kelompok-kelompok yang gemar menyatakan bahawa “Seruan untuk menghidupkan sunnah ini adalah dakwah yang sesat dan bodoh, menjauhkan umat Islam ini dari agamanya atau menyangka (hal tersebut) sebagai dakwah yang tidak ada nilainya, yang tidak mungkin seluruh muslimin berdiri di atasnya, kerana perkara tersebut adalah perkara furu’, khilafiyah, atau masalah kulit”. walaahaula walaaquwwata illa billah (Tiada daya dan upaya melainkan dari Allah).

d. Mendahulukan berbuka sebelum melaksanakan Solat Maghrib

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam berbuka puasa sebelum melaksanakan solat Maghrib. (Hadis Riwayat Ahmad (3/164), Abu Dawud (2356) dari Anas dengan sanad hasan) Ini adalah kerana perbuatan menyegerakan berbuka puasa adalah termasuk akhlaknya para nabi.

Dari Abu Darda’ radhiyallahu’ anhu:

“Tiga perkara yang merupakan akhlaq kenabian adalah: 1 - Menyegerakan berbuka, 2 – Mengakhirkan (melewatkan) sahur dan 3 - Meletakkan tangan di atas tangan kiri ketika dalam solat (ketika qiyam).” (Hadis Riwayat ath-Thabrani di dalam Mu’jam al-Kabir sebagaimana dalam al-Majma’ (2/105). Dia berkata... marfu’ dan mauquf)

3. Berbuka Dengan Apa?

Rasulullah Shallallahu’alaihi wa Sallam telah meemrintah untuk berbuka dengan kurma, jika tidak ada kurma, maka dengan air. Ini adalah termasuk di dalam kesempurnaan kasih sayang dan betapa perihatinnya beliau kepada umatnya dan dalam menasihati mereka.

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

“Sesungguhnya telah datang kepadamu seorang Rasul dari kaummu sendiri, berat terasa olehnya penderitaamu sekalian, sangat menginginkan (keimanan dan keselamatan) bagimu, amat belas kasihan lagi penyayang terhadap orang-orang yang beriman.” (at-Taubah, 9: 128)

Ini adalah kerana memberikan sesuatu yang manis kepada tubuh yang kosong berupaya untuk membangkitkan selera, tenaga, dan sangat bermanfaat bagi badan, terutama badan yang sihat. Tubuh badan akan menjadi segar dengannya (kurma). Adapun air, kerana badan ketika berpuasa menjadi kering, maka jika dibekalkan dengan air ia akan membantu menyegarkan badan serta membantu penghadaman makanan..

Sebenarnya kurma mengandungi berkah dan keistimewaan (begitu juga air) dalam pengaruhnya terhadap hati dan mensucikannya, tidak ada yang mengetahui kecuali orang yang beritiba’ (mengikuti sunnah).

Dari Anas bin Malik radhiyallahu ‘anhu, (ia berkata):

“Adalah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam berbuka dengan beberapa kurma segar (ruthtab), jika tidak ada ruthtab maka beliau berbuka dengan beberapa kurma kering (tamar), jika tidak ada tamar maka beliau minum dengan meminum air.” (Hadis Riwayat Ahmad (3/163), Abu Dawud (2/306), Ibnu Khuzaimah (3/277, 278), at-Tirmidzi (3/70) melalui dua jalan dari Anas radhiyallahu ‘anhu. Sanad hadis ini sahih)

4. Yang Diucapkan Ketika Berbuka

Semoga Allah sentiasa memberikan kepada kita taufiq dan hidayahnya untuk mengikuti sunnah Nabi-Nya Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. Ini adalah kerana sesungguhnya bagi orang yang berbuka itu dia mempunyai do’a yang dikabulkan. Maka manfaatkanlah, berdo’alah kepada Allah dengan keadaan yang benar-benar yakin akan dikabulkan. Dan ketahuilah sesungguhnya Allah tidak mengabulkan do’a dari hati yang lalai. Berdo’alah kepada-Nya dengan apa yang kita kehendaki dari do’a yang baik-baik, mudah-mudahan kita mampu memperolehi kebaikan di dunia dan akhirat.

Dari Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, terdapat sebuah hadis/riwayat bermaksud,

“Terdapat tiga do’a yang dikabulkan, 1 - Do’anya orang yang berpuasa, 2 - Do’anya orang yang dizalimi dan 3 - do’anya mereka yang bermusafir.” (Hadis Riwayat al-‘Uqaili di dalam adh-Dhu’afa (1/72). Abu Muslim al-Kajji di dalam kitab Juz’u-nya. Yang di antara jalurnya adalah Ibnu Masi di dalam kitab Juz’ul Anshari. Sanadnya sahih sekiranya tiada ‘an’anah Yahya bin Abi Katsir. Hadis ini memiliki satu penguat sebagaimana dijelaskan di dalam hadis berikutnya)

Do’a yang tidak tertolak ini dipanjatkan ketika kita sedang berbuka. Ini adalah berdasarkan hadis dari Abu Hurairah radhiyallahuanhu bahawasanya Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda,

“Tiga orang yang tidak akan ditolak do’anya, 1 - orang yang berpuasa ketika dia berbuka, 2 - Imam yang adil dan 3 - Do’anya orang yang dizalimi.” (Hadis Riwayat at-Tirmidzi (2528), Ibnu Majah (1752), Ibnu Hibban (2407). Di dalamnya ada Abu Mudillah yang majhul (tidak dikenali))

Dari Abdullah bin Amr bin al-‘Ash, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

“Sesungguhnya orang yang puasa ketika berbuka memiliki do’a yang tidak akan ditolak.” (Hadis Riwayat Ibnu Majah (1/557), al-Hakim (1/422), Ibnu Sunni (128), ath-Thayalisi (299) melalui dua jalur darinya. Al-Bushairi (2/81) menyatakan bahawa “Sanad hadis ini sahih dan rijalnya pun tsiqah”)

Do’a/zikir yang paling afdhal adalah do’a yang ma’tsur dari Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, bahawa beliau jika berbuka mengucapkan,


ذَهَبَ الظَّمَأُ وَابْتَلَّتِ الْعُرُوْقُ وَثَبَتَ اْلأَجْرُ إِنْ شَاءَ اللهُ

(yang ertinya): “Telah hilang dahaga dan telah basah urat-urat, dan telah ditetapkan pahala, Insya Allah.” (Hadis Riwayat Abu Dawud (2/306), al-Baihaqi (4/239), al-Hakim (1/422), Ibnu Sunni (128) an-Nasa’i di dalam kitab ‘Amalul Yaum wal Lailah (269) ad-Daruquthni (2/185) dan dia berkata: “Sanadnya hasan”)

5. Memberi Makan Orang Yang Puasa

Rasulullah Shallallahu’alaihi wa Sallam bersabda:

“Barangsiapa yang memberi makan kepada orang yang puasa untuk berbuka, maka baginya pahala sebagaimana pahalanya orang yang berpuasa tanpa mengurangi pahalanya sedikitpun.” (Hadis Riwayat Ahmad (4/144, 115, 116, 5/192), at-Tirmidzi (804), Ibnu Majah (1746), Ibnu Hibban (895). Dinilai sahih oleh at-Tirmidzi)

Bagi orang yang diundang untuk makan berbuka puasa maka dia wajib menghadirinya. Dan dia disunnahkan agar mendo’akan orang yang mengundangnya sebaik selesai makan dengan do’a-do’a sebagaimana yang ditunjukkan oleh Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam:

(ertinya): “Telah makan makanan kalian orang-orang yang baik, dan para malaikat berselawat (mendo’kan kebaikan) atas kalian, orang-orang yang berpuasa telah berbuka di sisi kalian.” (Hadis Riwayat Ibnu Abi Syaibah (3/100), Ahmad (3/118), an-Nasa’i dalam ‘Amalul Yaum (268), Ibnu Sunni (129), Abdur Razaq (4/311) dari pelbagai jalan darinya. Sanadnya sahih. Peringatan: Apa yang ditambahkan oleh sebahagian orang berkenaan hadis ini, iaitu “Allah menyebutkan di majlis-Nya” adalah tidak ada asalnya)

(ertinya): “Ya Allah, berilah makan orang yang memberiku makan, berilah minum orang yang memberiku minum.” (Hadis Riwayat Muslim (2055) dari Miqdad radhiyallahu ‘anhu)

(ertinya): “Ya Allah, ampunilah mereka dan rahmatilah, berilah keberkahan pada seluruh rezeki yang Engkau berikan.” (Hadis Riwayat Muslim (2042) dari Abdullah bin Busr)